fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Kabinet perkasa industri halal negara ditubuhkan - PM

KUALA LUMPUR, 12 September- Aspek pensijilan dan industri halal negara akan diperkasa ke peringkat lebih kompetitif. 

Ke arah itu, semua jabatan dan agensi berkaitan akan diselaras bawah satu Jawatankuasa Kabinet. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa itu akan diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan dipertanggungjawab menyelaras sinergi dengan pihak terlibat bagi memanfaatkan sepenuhnya ekosistem halal negara. 

Sekali gus, mencipta peluang lebih besar dalam pasaran halal global.

"Jika negara mahu melonjak, cara kerja perlu berubah...tidak boleh kaedah lama. Sinergi badan dan jabatan mesti diselaraskan...kita ada sasaran untuk industri halal negara dan jabatan berkaitan.

"Saya telah putuskan supaya diselaraskan Jawatankuasa Kabinet dan penekanannya mesti perusahaan kecil sederhana, diberi ruang dan ada penekanan baharu memberi peluang industri kecil bertapak dengan bantuan MARA dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)...pensijilan bersama industri," katanya.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Beliau berucap pada majlis perasmian Global Halal Summit, di sini hari ini.

Manfaat sebaiknya sektor halal negara

Pada majlis sama, Anwar juga mahu Malaysia memanfaatkan sebaiknya sektor halal kerana ia diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

Jelasnya, Malaysia berasa di kedudukan tersendiri dalam bidang halal dan dipandang tinggi di mata dunia.

"Satu kerugian besar jika kita tidak beri perhatian kerana pengiktirafan telah diberikan kepada Malaysia…kejayaan dan pengiktirafan itu menyebabkan berkembangnya industri halal dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan MATRADE menyelaras dari sudut industri.

"Pertamanya,  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) saya telah minta untuk menyelaras kegiatan industri termasuk pensjiilan halal...di mana dunia anggap Malaysia ke depan...diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa," tambahnya.

Media Baharu