fb fb fb fb fb

PM adakan lawatan dua hari ke Brunei mulai esok

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke sini selama dua hari bermula esok.

Ia merupakan lawatan rasmi negara kedua buat Anwar sejak dilantik perdana menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu.

Lawatan rasmi perdana menteri ke Brunei Darussalam bagi memenuhi jemputan Sultan Hassanal Bolkiah.

Perdana menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kira-kira pukul 3.30 petang esok.

Beliau kemudian akan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Pada 25 Januari pula, perdana menteri dijadual menghadap Sultan Brunei di Istana Nurul Iman.

Pada sesi menghadap tersebut, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perdana menteri turut akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan juga Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Pertemuan itu akan disusuli dengan majlis santapan rasmi yang dihoskan Sultan Brunei.

Dalam lawatan itu, Anwar diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu