fb fb fb fb fb

PM 10 individu tumpuan carian dalam “Year in Search 2022 Malaysia"

(Anwar Ibrahim/Foto Pejabat PM)

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungguli carian bagi kategori individu yang menjadi tumpuan dalam “Year in Search 2022: Carian sohor kini teratas untuk Malaysia” selain Datuk Seri Najib Razak serta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Perkara itu disebabkan PRU15 yang dijalankan pada November 2022,” jelas laporan dikeluarkan Google Malaysia.

Bagi individu antarabangsa, pasangan selebriti Amber Heard dan Johnny Depp berada di tangga teratas carian. Tidak dilupakan juga insiden yang berlaku antara pelakon ‘Will Smith’ dan pelawak ‘Chris Rock’ pada Anugerah Akademi ke-94.

Sementara itu, Bantuan Keluarga Malaysia menduduk tempat teratas dalam 10 carian teratas.

Laporan itu menyatakan bantuan kewangan kekal menjadi tumpuan rakyat tatkala mereka mencari maklumat untuk mengesahkan kelayakan dalam menerima sebahagian daripada bantuan kerajaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 8.2bilion.

MySPR Semak’ pula di tempat ke-2, manakala ‘Keputusan PRU 15’ tempat ke-4, diikuti ‘MyUndi’ ke-5 dan carian ‘Anwar Ibrahim’ turut berjaya memasuki senarai 10 carian sohor kini teratas iaitu di kedudukan ke-8.

“Pada bulan November, rakyat Malaysia keluar mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 negara dan carian paling popular memberi kami cerapan kepada maklumat yang dicari oleh rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dan kekal bermaklumat,” menurut laporan itu.


(Anwar Ibrahim/Foto Pejabat PM)

Setiap tahun, Google akan mengumpulkan detik -detik, individu serta perkara yang sering mencetuskan rasa ingin tahu pengguna melalui 'Year in Search' khususnya carian di Malaysia.

“2022 merupakan tahun yang menyaksikan rakyat Malaysia keluar dari tempoh kekangan pendemik COVID-19 dan memberikan ruang kepada pengguna menerokai dunia luar dan mendapatkan informasi terkini dengan menggunakan carian Google,”jelas laporan itu.

Carian lain yang turut tersenarai dalam carian tertinggi ialah Bantuan Peranti Siswa yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital yang menyediakan peranti kepada pelajar daripada keluarga B40.

Selaras minat kebanyakan masyarakat dunia, carian Piala Dunia 2022 turut tersenarai dalam carian paling popular dalam kategori sukan.

Dalam meneroka maklumat dari luar negara, rakyat Malaysia turut mencari maklumat berkaitan pemergian Queen Elizabeth II, pada 8 September 2022.

“Berita kesedihan itu turut dirasai hinggakan pengguna media sosial turut berkongsi hantaran mengenai kemangkatan baginda. Baginda Ratu memiliki legasinya yang luar biasa iaitu memerintah selama 7 dekad dalam monarki British,” merujuk laporan dikeluarkan Google Malaysia itu.

Selain itu carian Genting Highlands mendahului senarai sohor selain pusat beli-belah LaLaport yang baru dibuka di Pusat Bandar Bukit Bintang serta pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil.

Filem pecah panggung tempatan, ‘Mat Kilau’ pula mendahului senarai filem sohor seiring dengan sejarah yang tercipta sebagai filem terpantas mengutip RM47 juta dalam masa 11 hari.

Media Baharu