fb fb fb fb fb

Ancaman ikan asing di perairan Perak dipandang serius

TELUK INTAN, 8 Disember- Kerajaan Perak memandang serius ancaman ikan-ikan asing yang terdapat di perairan sungai negeri itu.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kehadiran ikan asing daripada
pelbagai benua di perairan sungai negeri Perak merupakan ancaman utama kepada pemuliharaan biodiversiti kerana ianya bersifat pemangsa.

Jelasnya Jabatan Perikanan Negeri telah menerima banyak maklumat menerusi laporan media dan aduan awam mengenai kehadiran spesies ikan asing yang
boleh menjangkau saiz gergasi seperti ikan 'Baung Ekor Merah Asia' dan ikan 'Keli Afrika'

(Mohd Zolkafly Harun)

"Beberapa langkah telah diambil oleh Jabatan Perikanan dan jabatan agensi bagi menyekat, mengurangkan ataupun mengenakan tindakan yang bersesuaian dengan akta undang-undang dan sebagainya.

"Perkara itu membolehkan pelepasan spesis ikan asing ini dapat dikawal supaya dapat menjaga ikan ikan asli yang berada di perairan umum, khususnya
sungai di Perak," jelasnya selepas menyempurnakan perasmian Jeti Nelayan Darat Sungai Kerawai, Teluk Intan.

Tambahnya lagi, langkah untuk mengawal atau menyekat kehadiran spesies ikan asing adalah penting bagi memastikan pendapatan nelayan darat tidak
terjejas.

Dalam majlis sama turut diadakan penyampaian sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang di Perairan Umum Negeri Perak.

 

Media Baharu