fb fb fb fb fb

PM, Ketua Menteri Sabah dijangka bincang kerjasama PRN Sabah di Tawau

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Mustapha Sakmud./ Foto Bernama

KOTA KINABALU, 10 Mei-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung isu kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang sempena lawatannya ke Tawau esok.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya berharap ada perbincangan diantara kedua-dua pemimpin itu bagi mengekalkan kesepaduan Kerajaan Perpaduan yang ada masa ini.

“Sebenarnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan datang ke Tawau besok dan saya fikir Yang Amat Berhormat Ketua Menteri pun akan hadir sama. Jadi kita harap akan ada perbincangan awal.

“Ini antara hasrat Perdana Menteri yang mahu kesepaduan Kerajaan Perpaduan seperti di pusat itu dikekalkan dan kalau boleh kita bawa ke peringkat negeri, soal kerusi kita boleh berunding.

“Kita faham hasrat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini dia mahu menjadi tunjang kepada Kerajaan Negeri, itu kita boleh bincang tetapi jangan kita wujudkan pergeseran sehingga kita bertembung jadi kita masih lagi membuka ruang untuk kita bekerjasama dengan GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Pendidikan, Kemahiran dan Kerjaya Borneo di Ibu Negeri.

Semalam, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GRS sedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri.

“Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.

“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya.

MOHAN CHINNASAMY