SAGAING, 10 Mei- Kecekapan serta kepakaran pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi terbukti apabila sebuah pembedahan kecemasan berisiko tinggi berjaya dijalankan di Hospital Medan Malaysia (HMM), Sagaing, Myanmar menyelamatkan nyawa seorang lelaki tempatan yang berada dalam keadaan kritikal.
ATM menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan pesakit, U Myo Thien, 43 tahun, dari Wilayah Sagaing, hadir ke hospital berkenaan pada 25 April lalu dalam keadaan kecemasan dengan simptom akut di bahagian abdomen.
Pemeriksaan lanjut mendapati beliau turut menghidap penyakit jantung lemah dan masalah hati kronik, menjadikan pembedahan satu-satunya pilihan untuk menyelamatkan nyawanya.
"Bertindak pantas, satu pasukan pembedahan diketuai Pakar Bedah, Mejar (Dr) Azrul Aminur Rashid Yunus bersama pakar bius, Leftenan Kolonel (Dr) Md Ariff Md Yusof telah melaksanakan pembedahan selama sejam.
"Hasil pemeriksaan dalam dewan bedah mengesahkan pesakit mengalami Acute Meckel’s Diverticulitis, satu keadaan kongenital yang jarang berlaku dan hanya melibatkan kira-kira dua peratus populasi umum," menurut hantaran tersebut.
Menurut Komander HMM, Kolonel (Dr) Ahmad Farhan Ahmad Fuad, kes tersebut dianggap sangat kompleks bukan sahaja kerana kondisi yang jarang berlaku, tetapi juga kerana faktor kesihatan pesakit yang meruncing. Namun, kerjasama erat antara anggota pasukan HMM serta sokongan daripada pasukan perubatan tempatan Myanmar menjadi kunci utama kejayaan operasi tersebut.
Pembedahan turut dibantu Pembantu Bedah, Sarjan Mohd Kasirun Kahlib dan Pembantu Bius, Sarjan Muhamad Aznan Amerudin.
"Selepas pembedahan, pesakit dipantau rapi oleh Pakar Bius, Lt Kol (Dr) Mohd Zaid Abdul Kadir di Unit Rawatan Rapi HMM sebelum dipindahkan ke Hospital Sagaing bagi rawatan susulan oleh pakar kardiologi dan nefrologi.
"Hasil pemerhatian susulan mendapati pesakit menunjukkan perkembangan positif dan dibenarkan keluar hospital selepas lima hari. Beliau kemudiannya hadir semula ke HMM pada 8 Mei dalam keadaan stabil dan telah mula makan serta berjalan seperti biasa," menurut hantaran tersebut.
Dalam satu kenyataan, U Myo Thien turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan tidak terhingga kepada Kerajaan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta seluruh pasukan perubatan HMM atas rawatan yang telah menyelamatkan nyawanya.
Kol (Dr) Ahmad Farhan menyifatkan kejayaan itu sebagai manifestasi jelas solidariti antara Malaysia dan Myanmar dalam misi kemanusiaan, di samping memperlihatkan profesionalisme tinggi pasukan perubatan ATM dalam memberi bantuan kepada mangsa bencana gempa bumi yang terjejas.