fb fb fb fb fb

PLUS tambah 12 lorong RFID, kurangkan kesesakan di plaza tol - Nanta

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 13 Januari- PLUS Expressway Berhad akan menambah 12 lorong teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) selewat-lewatnya pertengahan April ini sebagai permulaan susulan rungutan pengguna lebuh raya berhubung kekurangan lorong berkenaan yang menyebabkan kesesakan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini menerusi satu hantaran Facebook berkata keputusan menambah 12 lorong RFID dicapai hasil pertemuan beliau dengan wakil dari Kumpulan Touch 'n Go Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Malaysia pagi tadi.

“Berdasarkan rungutan yang banyak diterima, rata-rata pengguna transaksi ini mengeluh mengenai kekurangan laluan transaksi RFID yang menyebabkan kesesakan teruk di plaza tol. Isu keselamatan juga turut dibangkitkan di mana pengguna jalan raya mempersoalkan kedudukan laluan RFID di plaza tol yang berubah-ubah yang telah menyebabkan kemalangan.

“Dalam pertemuan ini, saya sudah mengarahkan tindakan diambil secepat mungkin yang menjurus kepada penyelesaian masalah di samping memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

"Kesepakatan sudah dicapai dan pihak PLUS Expressway Berhad sudah bersetuju untuk menambah lorong RFID demi keselesaan pengguna. Buat permulaan, sebanyak 12 lorong akan ditambah selewat-lewatnya pertengahan April ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Sistem RFID menggunakan cip frekuensi radio yang terkan­dung dalam satu pelekat yang ditampal pada sesebuah kenderaan dan akan menggantikan pera­nan peranti tag pintar (SmartTAG).


(FOTO FB Alexander Nanta Linggi)

Media Baharu