fb fb fb fb fb

Perhimpunan Agung Khas UMNO lulus dua pindaan perlembagaan parti

KUALA LUMPUR, 13 Januari- Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini meluluskan dua pindaan perlembagaan parti termasuk membabitkan ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan pada pilihan raya gugur keahlian dengan sendirinya.

Pindaan yang melibatkan Fasal 20.11 itu untuk disesuaikan dengan peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti sebagaimana Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dikuatkuasakan mulai 5 Oktober lepas.

Pindaan lain yang diluluskan ialah meletakkan ketua penerangan bahagian sebagai mereka yang automatik menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun, melibatkan pindaan pada Fasal 8.4.

Kelulusan kedua-dua pindaan tersebut disahkan Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin yang menyatakan pindaan tersebut lulus dengan lebih suara bersetuju.

Para perwakilan menyanyikan lagu UMNO 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' pada
Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini
FOTO BERNAMA

Terdahulu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika membentangkan pindaan tersebut berkata ia dipinda bagi memastikan peruntukan oleh parti bersifat terkini dan selari dan peruntukan semasa dan undang-undang negara.

Perhimpunan agung kali ini melibatkan 2,648 perwakilan dan 174 pemerhati, iaitu ketua penerangan bahagian, menjadikan jumlahnya 2,822 orang.

Media Baharu