fb fb fb fb fb

PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sempena cuti Hari Kebangsaan

Foto hiasan

PETALING JAYA, 28 Ogos – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari bermula 29 Ogos dan 1 September sempena Hari Kebangsaan ke-68.

PLUS dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan perjalanan lancar.

"PLUS memperkenalkan MyPLUS-TTA dengan ciri baharu termasuk ‘Favourite Routes’ untuk simpan laluan kegemaran, ‘Real-Time Alert’ untuk maklumat trafik, dan menu drop-down bagi pilihan laluan lebih pantas.

"Aplikasi ini boleh digunakan bukan sahaja semasa musim perayaan tetapi juga pada hari puncak cuti Hari Kebangsaan. PLUS juga memantau aliran trafik secara berterusan dan mengemas kini nasihat perjalanan secara nyata (real-time)," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun orang ramai digalakkan memuat turun atau mengemas kini aplikasi PLUS untuk mendapatkan informasi semasa.

Dalam pada itu, PLUS turut melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang rangkaian lebuh raya kira-kira 1,130 kilometer untuk menaikkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Antara inisiatif yang dilakukan termasuk pemasangan Jalur Gemilang gergasi setinggi 40 kaki dan selebar 80 kaki di Bangunan Persada PLUS.

"Selain itu, pengguna PLUS boleh menyaksikan hiasan kreatif di 21 Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sepanjang lebuhraya mengikut tema 'Malaysia Madani: Rakyat Disantuni' sehingga 16 September 2025.

"Paparan mesej digital di empat unit paparan LED Unilink (Damansara, Setia Warisan Subang, dan USJ Overhead Bridge Restaurant) dan 70 papan VMS PLUS," menurut kenyataan itu.

Selain itu pertandingan Hiasan Merdeka menggunakan konsep 3R: Reuse, Recycle & Repurpose turut diadakan untuk menggalakkan kreativiti dan kerjasama kakitangan PLUS.

Pengguna lebuh raya juga berpeluang menyertai peraduan #TerokaMalaysiaBersamaPLUS bersama Tourism Malaysia melalui aplikasi PLUS dan TikTok sehingga 16 September 2025.

Pelbagai hadiah menarik disediakan. Maklumat lanjut dan terma penyertaan boleh dirujuk di www.plus.com.my.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI