fb fb fb fb fb

Ekonomi APEC sepakat perkukuh kerjasama serantau

Foto Pejabat Timbalan Perdana Menteri

BUSAN, 28 Ogos - Kesemua 21 ekonomi APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) sepakat untuk mencapai konsensus bersama untuk memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam aspek pemindahan teknologi, sokongan kewangan dan peningkatan keupayaan negara anggota.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Malaysia fokus untuk memastikan jaminan bekalan tenaga negara, di samping memperkukuh kerjasama agar rantau Asia Tenggara lebih kukuh menerusi inisiatif Grid Tenaga ASEAN.

"Perbincangan turut menekankan keperluan menaik taraf sistem grid pintar serta kepelbagaian penjanaan tenaga.

"Antara fokus utama termasuk penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih, di samping tenaga boleh baharu lain seperti biogas dan biomass bagi menjamin bekalan tenaga masa depan", katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Penutup Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke 15 (APEC EMM15) di Busan, Korea.

Jelasnya, bagi menyokong usaha itu, Bank Dunia dan Bank Pembangunan ASEAN bersetuju menyediakan bantuan kewangan berjumlah AS$12.5 bilion.

Tambahnya, dana itu akan digunakan untuk memperkukuh sistem grid, membangunkan tenaga boleh baharu serta mempertingkatkan keupayaan tenaga di negara-negara anggota ASEAN.

ROSLINA BINTI DIN