fb fb fb fb fb

Gangguan elektrik KLIA2: MAHB, pengurusan gateway@klia2 diarah sedia laporan penuh

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

SEPANG, 28 Ogos-Pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan gateway@klia2 diarah menyediakan laporan penuh dalam masa 24 jam berhubung insiden gangguan bekalan elektrik di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan, insiden tersebut sama sekali tidak boleh diterima kerana menjejaskan imej negara, memandangkan ia berlaku di pintu masuk utama negara.

Beliau berkata, dalam sektor pengangkutan awam, sebarang gangguan teknikal yang melebihi 15 minit dikategorikan sebagai gangguan besar.

Beliau berkata pelancaran program itu terpaksa ditangguhkan hampir 20 minit berikutan gangguan bekalan elektrik.

"Dan perkara ini tidak boleh berlaku, tidak boleh berulang lagi. Jadi pengurusan MAHB bersama pengurusan bangunan gateway ini mesti meneliti puncanya. Saya mahu mendengar tindakan seterusnya kerana sistem sokongan (backup) mesti ada dan mesti berfungsi. Perkara seperti ini sama sekali tidak boleh berlaku di lapangan terbang negara kita," katanya ketika melancarkan “Tap, Travel and Discover”.

Tambahnya, pihaknya mahukan penyelesaian serta jaminan agar insiden sama tidak berulang dan perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet dan Mesyuarat Pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan, esok.

ROSLINA BINTI DIN