fb fb fb fb fb

PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari pada waktu puncak Aidilfitri

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

SUBANG, 19 Mac- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 2.2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh raya kendaliannya setiap hari pada hari puncak bersempena dengan sambutan perayaan Aidilfitri.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, peningkatan trafik dijangka akan meningkat antara 27 hingga 29 Mac, serta 4 hingga 6 April, berikutan sambutan Aidilfitri pada 31 Mac dan 1 April.

"Dengan bantuan pihak berkuasa kita akan mengaktifkan sebanyak 28 smartlane di kawasan-kawasan strategik. Untuk Tahun Baharu Cina kita membuka 25 smartlane.

"Jadi untuk hari raya kita tambah tiga lagi lokasi baru. Menerusi maklum balas pengguna jalan raya smartlane ini amat berkesan dan berjaya mengurangkan kesesakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Persediaan PLUS Hadapi Pertambahan Trafik Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini.

Dalam pada itu Zakaria turut memaklumkan larangan terhadap kenderaan berat akan dikuatkuasakan dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan.

PLUS turut memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi mudah alih MyPLUS-TTA, membolehkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih cekap sepanjang musim perayaan.

Bersempenan sambutan Aidilfitri lebih 5,000 petugas akan ditugaskan di sepanjang Lebuhraya PLUS dan LPT2.

Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan untuk merancang waktu perjalanan lebih awal dan mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) disediakan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Pengarah Wilayah Tengah Lembaga Lebuhraya Malaysia Dr Mohammed Ridzuan Jahidin.

Hadir bersama Timbalan Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Tan Kim Loon.

Sementara itu Mohd Yusri memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti 25 kawasan hotspot dan 46 kawasan black spot di lebuh raya seluruh negara.

Butiran lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan pada pelancaran Op Selamat yang dijadualkan pada 23 Mac ini.

"Kami pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa kerjasama dengan pihak plus memastikan kesedaran keselamatan dan juga aliran trafik sentiasa baik.

"Selain itu memastikan mana-mana kenderaan terlibat kemalangan kita akan selesaikan dengan segera," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI