fb fb fb fb fb

RUU PSB: Hak pemilik asal tidak terjejas

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Mac- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak akan menjejaskan hak pemilik asal, terutamanya orang Melayu dan Bumiputera.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa selepas persetujuan dicapai, pemilik akan menerima semula hartanah yang telah diperbaharui, selain pampasan, manfaat sara hidup serta insentif lain sepanjang tempoh pembinaan dan selepas projek disiapkan.

"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menegaskan, bahawa perlaksanaan RUU PSB ini akan memastikan rumah yang telah diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan.

"Nilai pampasan hartanah yang akan diperolehi pemilik pula ialah berdasarkan kepada nilai pasaran masa hadapan sekali gus membantu mereka untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui", katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.

Berbeza dengan kaedah semasa, yang hanya memberi pampasan berdasarkan nilai semasa, RUU PSB menjanjikan pampasan yang lebih adil dan tinggi.

Tunku Nashrul turut memaklumkan, terdapat usaha giat dari beberapa pihak yang terus menabur fitnah terhadap Perdana Menteri, meskipun di bulan Ramadan.

Berbagai siri dan cerita lapuk yang diulang-ulang jelas menunjukkan pihak ini terdesak dalam usaha mempengaruhi minda masyarakat.

"Memanjangkan fitnah, terutamanya di bulan Ramadan merupakan serendah-rendah akhlak dan ditegah keras oleh Islam.

"Namun, kita akan terus memantau rapat agar ia tidak akan sesekali menggugat serta melemahkan semangat serta niat kita dalam menjamin kesejahteraan kepada negara dan rakyat keseluruhannya", katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memberi teguran terhadap tindakan individu menampar pemuda bukan Islam kerana makan di khalayak ramai.

Perdana Menteri percaya isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya terutama di bulan Ramadan sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan", ujar Tengku Nashrul.

ROSLINA BINTI DIN