fb fb fb fb fb

PLSB sasar 1 juta pelancong menjelang akhir tahun

(FOTO RTM)

LANGKAWI, 20 September - Peneraju sistem kereta kabel Langkawi (SkyCab), Panorama Langkawi Sdn Bhd optimis bakal menerima satu juta pelancong menjelang akhir tahun ini.

Ini berikutan trend kedatangan pengunjung ke lokasi tarikan pelancong utama di pulau berkenaan yang meningkat sehingga 40 peratus pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Operasi PLSB, Ir. Abu Hashim Abdul Rahman, selain pelancong domestik jumlah kedatangan pelancong luar negara ke SkyCab juga menunjukkan peningkatan ketara.

"Seramai 573,000 pengunjung direkodkan berbanding tahun lalu iaitu 436,000 pengunjung pada tempoh sama tahun lepas.

"Kedatangan pengunjung luar negara menunjukkan peningkatan. Kalau tahun lepas dari luar negara seramai 12 hinga 15 peratus sahaja sehingga ogos tahun ini peningkatan pengunjung luar negara meningkat sehingga 37 peratus dan pelancong tempatan pula sebanyak 63 peratus", katanya demikian ketika ditemui di Langkawi SkyCab di sini.

Langkawi SkyCab, sistem kereta kabel lebih 4,000 meter panjang yang menghubungkan Oriental Village di Teluk Burau dengan Gunung Mat Chinchang setinggi 708 meter, disenaraikan antara 10 sistem kereta kabel terbaik dunia oleh sebuah laman sesawang pengembaraan antarabangsa.


(Pemangku Ketua Pegawai Operasi PLSB, Ir. Abu Hashim Abdul Rahman)

Media Baharu