fb fb fb fb fb

Bekalan beras kurang,CAKE gesa siasatan menyeluruh

(FOTO RTM)

ALOR SETAR, 20 September - Persatuan Pengguna Kedah, CAKE mencadangkan kepada pihak berwajib khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, KPKM melakukan siasatan terperinci daripada peringkat pesawah sehinggalah ke peringkat pengguna susulan ketiadaan bekalan beras tempatan dalam pasaran ketika ini.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata siasatan berkenaan perlu memandangkan hasil tuaian padi di seluruh negara terutama Kedah tidak menunjukkan sebarang kemerosotan.

Yusrizal turut mencadangkan agar pemeriksaan dan penguatkuasaan perlu dilakukan di semua rantaian bekalan.

"Kita berharap agar bekalan beras ini kembali di pasaran. Ambil tindakan kepada pemborong atau pengilang yang menyeleweng", gesanya.

Tambah Yusrizal, penyiasatan berdasarkan data-data di semua rantaian bekalan beras dari semua peringkat boleh digunakan bagi mengenal pasti punca kepada berlakunya kekurangan beras tempatan dalam pasaran sejak akhir-akhir ini.

"Daripada pengilang kepada pemborong berapa tan dibekalkan? Daripada pemborong kepada peruncit berapa tan?

"Kita boleh mengenal pasti ketirisan berkaitan perkara ini", katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga barang keperluan di Pasar Besar Alor Setar pagi tadi.

 
( Presiden CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff )

Media Baharu