TUMPAT, 17 Jun- Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan fasa 2 akan bermula September ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek yang ditangguhkan itu dijangka siap pada 2028.
Pelaksanaan projek PLSB bagi fasa itu membabitkan peruntukan RM1.75 bilion bagi menyelesaikan masalah banjir di Lembangan Sungai Kelantan.
"Fasa 1 telah bermula pada 2018 yang melibatkan peruntukan RM699 juta dan PLSB Sungai Kelantan fasa 2 berjumlah RM1.06 bilion. Fasa 1 dijangka siap pada 17 Oktober 2023 dan akan di teruskan dengan fasa 2," katanya kepada media selepas melawat Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan di Teluk Renjuna, di sini.
Nik Nazmi berkata jumlah peruntukan RM1.7 bilion yang akan diterima Kelantan bagi menangani masalah bekalan air akan dipercepatkan kelulusan itu tertakluk kepada peraturan sedia ada.
"Satu pertemuan telah diadakan di peringkat pusat dan negeri bagi melihat keutamaan pelaksnaan projek," katanya.
Mesyuarat antara kedua–dua pihak dijangka diadakan dalam tempoh dua minggu lagi untuk memuktamadkan perkara itu.
(Nik Nazmi ketika melawat Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan)