TUMPAT, 17 Jun- 436 projek dan program bagi pelaksanaan menerusi Rolling Plan Ketiga (RP3) bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) diluluskan untuk Kelantan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata jumlah projek itu merangkumi peruntukan keseluruhan melebihi RM22 bilion.
Pelakasnaan projek juga melibatkan Projek Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) berkapasiti 500 juta liter sehari (JLH) di Mukim Joh Labok, Machang membabitkan nilai RM650 juta, bagi membantu negeri itu menangani permasalahan bekalan air.
"Ini menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan yang amat komited dan cakna dengan keperluan pembangunan fizikal dan sosial serta isu–isu berkaitan yang dihadapi penduduk negeri Kelantan.
"Bagi memastikan segala perancangan pelaksanaan projek yang telah dirancang pada 2023 ini berjalan lancar, kami berharap kerjasama yang baik dari kerajaan negeri untuk memastikan agenda pembangunan yang dirancang selaras dengan hasrat kerajaan perpaduan untuk membawa pembangunan ke seluruh jajahan di negeri Kelantan," katanya selepas melawat Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan di Teluk Renjuna, di sini.
Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan (MTPNg) Kelantan berkata di jajahan Tumpat sahaja hampir RM89 juta diluluskan merangkumi 23 projek dengan kos pembangunan berjumlah lebih RM1 bilion.
Daripada jumlah itu tujuh projek baharu diluluskan di jajahan tersebut dengan kos keseluruhan bernilai RM240.4 juta.
Antara projek berkenaan adalah membina sistem bekalan air luar bandar (BALB) Kampung Pengkalan Nangka dan kawasan sekitar Tumpat membabitkan kos berjumlah RM130 juta.
Jambatan menghubungkan Pulau Teluk Rejuna ke bandar Tumpat bernilai RM92 juta serta kerja awalan bagi pembinaan jalan dan jambatan baharu menghubungkan Pengkalan Kubor ke Tak Bai, Thailand turut akan dibina membabitkan kos RM8 juta.
(Nik Nazmi Nik Ahmad)