PEKAN, 7 September – Seramai 477 calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 3/2025 dibenarkan menangguhkan latihan mereka selepas permohonan dikemukakan dengan alasan kukuh.
Timbalan Ketua Pengarah Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kolonel Samad Igom, berkata penangguhan tersebut diluluskan selepas dibawa ke mesyuarat Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) untuk ketetapan rasmi.
Menurutnya, antara alasan utama penangguhan ialah peluang melanjutkan pengajian serta masalah kesihatan yang disahkan pakar perubatan.
“Pelatih tetap tertakluk kepada program ini walaupun diberikan penangguhan. Setiap individu hanya dibenarkan menangguhkan latihan maksimum dua kali. Selepas tamat pengajian, mereka masih wajib mengikuti latihan sehingga berusia 35 tahun,” katanya kepada pemberita selepas sesi Lapor Diri pelatih PLKN Siri 3/2025 di Kem 505 Pekan, Pahang.
JLKN sebelum ini menegaskan, kehadiran ke program adalah wajib dan kegagalan hadir tanpa alasan munasabah boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara.
Mana-mana pelatih yang ingkar boleh didenda sehingga RM3,000, dipenjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pada siri kali ini, seramai 529 pelatih melaporkan diri di dua Kem Askar Wataniah, termasuk 353 orang di Kem 505 Pekan.
Sepanjang latihan, mereka akan mengikuti modul asas ketenteraan, kecergasan fizikal, kawad, merempuh halangan, meningkatkan disiplin serta modul kenegaraan merangkumi jati diri, semangat cintakan negara dan perpaduan.