TAWAU, 7 September - Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) kini diperluas ke Sabah bagi memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana selain menyokong literasi digital, keselamatan siber, perkhidmatan pintar dan teleperubatan di kawasan pedalaman.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif berasaskan kenderaan bergerak itu dilengkapi satelit, Wi-Fi, rangkaian selular, radio mudah alih serta dron, membolehkan kerajaan menyampaikan perkhidmatan segera termasuk di lokasi terpencil.
“PRIME digerakkan sebagai permulaan di Parlimen Kalabakan untuk mencakupi kawasan yang tiada NADI. Dengan kemudahan internet termasuk Starlink, kita boleh menyediakan perkhidmatan seperti kempen keselamatan dalam talian, Internet selamat dan teleperubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan PRIME peringkat Sabah di NADI Kampung Sungai Imam, Tawau, sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) yang berlangsung serentak di 1,099 NADI seluruh negara.
Menurut Datuk Fahmi, penggunaan dron dengan pembesar suara dan pemancar internet turut membolehkan komunikasi dua hala dengan mangsa bencana, sekali gus mempercepatkan operasi menyelamat oleh agensi keselamatan.
PRIME bukan hanya digunakan ketika bencana, malah dibawa ke komuniti bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai literasi digital dan keselamatan siber. Kerjasama dengan agensi seperti Nadma, PDRM dan Jabatan Bomba juga akan terus diperkukuh untuk memanfaatkan PRIME dalam operasi lapangan.
Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga dijangka siap di Sarawak pada Oktober 2025.
Dalam program sama, Datuk Fahmi turut meninjau menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai, yang mula beroperasi pada September 2024.