fb fb fb fb fb

LKIM harap peruntukan Belanjawan 2026 fokus naik taraf jeti nelayan

Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat menyampaikan insentif bantuan peralatan penangkapan ikan Touch Point di LKIM Chendering / LKIM TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 7 September - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan terus memberikan peruntukan sewajarnya dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober depan bagi membela kebajikan hampir 90,000 nelayan di seluruh negara.

Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat berkata, tumpuan perlu diberikan untuk menaik taraf kemudahan jeti pendaratan ikan kerana sebahagian fasiliti sedia ada uzur dan menyukarkan kerja-kerja nelayan.

“Banyak lokasi di seluruh negara memerlukan pembinaan jeti baharu. Cuma isu utama adalah berkaitan kelulusan tanah kerana kebanyakan kawasan pengkalan berada di tanah rezab kerajaan negeri atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Kita harap proses urusan tanah dapat dipermudahkan kerana tujuan utama adalah membantu masyarakat nelayan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan insentif bantuan peralatan penangkapan ikan Touch Point di LKIM Chendering, di sini.

Melalui peruntukan RM225,000 tahun ini, seramai 99 nelayan B40 menerima bantuan seperti pemerum gema (fish finder) dan pukat bagi meningkatkan hasil tangkapan.

Seorang nelayan, Abdul Yahya Ismail, menzahirkan penghargaan atas bantuan yang disifatkan sangat membantu kerja harian mereka.

“Terima kasih dapat bantuan peralatan memancing pukat dan sounder. Dengan alat ini kita boleh kesan kawasan ikan dengan lebih mudah,” katanya.

Seorang lagi penerima, Mohd Seri Ramli pula berkata peralatan itu penting untuk memastikan hasil tangkapan lebih cepat dan berkesan.

“Sounder ini penting untuk kesan tapak ikan. Kalau beli sendiri memang lambat sebab kos tinggi. Mujur ada bantuan ini, barulah boleh guna,” jelasnya.

Objektif program bantuan berkenaan adalah untuk meningkatkan pendapatan nelayan sekali gus memperbaiki taraf hidup golongan B40.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE