
KUALA LUMPUR, 16 November – Seramai 1,899 pelatih berjaya menamatkan latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 4/2026 selama 45 hari, iaitu pencapaian 102 peratus berbanding sasaran asal 1,860 peserta.
- Program diterima baik menurut Menteri Pertahanan; bertujuan membentuk generasi muda dan meningkatkan semangat patriotik.
- Tiada peserta keluar atau meminta pulang sepanjang latihan, menggambarkan komitmen dan penerimaan positif terhadap program.
- Latihan merangkumi modul ketenteraan 70 peratus dan kenegaraan 30 peratus; semua pelatih menerima sijil tamat dan diiktiraf anggota AKN.
Daripada jumlah itu, 1,149 merupakan pelatih lelaki manakala 750 perempuan yang ditempatkan di enam Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) dan dua Pusat Latihan RELA di seluruh negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan, sekali gus mencerminkan penerimaan positif terhadap usaha membentuk generasi muda menerusi latihan berkenaan.
“Kita gembira kerana penyertaannya sangat baik dan untuk kem ini saya difahamkan tidak ada seorang pun yang keluar atau meminta untuk pulang.
“Saya percaya usaha yang kita lakukan ini sangat baik kerana antara lain, perkara penting yang ingin kita capai ialah meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 4/2026 di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 515, di sini.
Pada majlis itu, Nurull Danieyla Aqsya Mohamad Faudzi dinobatkan penerima Anugerah Wira Muda Ulung atas pencapaian cemerlang sepanjang menjalani latihan di kem berkenaan.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, PLKN bukan sahaja memberikan pengalaman baharu, malah menyuntik aspirasi untuk menjadi individu lebih baik dan berguna kepada negara, selain merealisasikan impian Allahyarham bapanya serta cita-citanya untuk menyarung seragam tentera.
“Dalam PLKN, terdapat dua modul utama iaitu ketenteraan dan kenegaraan.
“Antara aktiviti yang paling menarik perhatian saya ialah latihan abseiling dan rappelling, manakala yang paling saya gemari ialah latihan menembak kerana itu pengalaman pertama saya memegang senjata.
“Ia merupakan pengalaman baharu yang akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui media.
Majlis perbarisan tamat latihan turut berlangsung serentak di Hutan Melintang, Perak dan Pusat Latihan RELA Negeri Sabah (PLRNS).
Latihan siri terakhir tahun ini merangkumi 70 peratus modul ketenteraan dan 30 peratus modul kenegaraan, berteraskan nilai Cinta Negara, Perpaduan dan Kesukarelawanan.
Kesemua pelatih menerima Sijil Tamat Latihan dan diiktiraf secara rasmi sebagai anggota Angkatan Khidmat Negara (AKN).