fb fb fb fb fb

PKOB Baling terima 121 permohonan salur bantuan kepada mangsa banjir

BALING, 10 Julai- Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) menerima 121 permohonan daripada pelbagai pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan dan kampung di sini setakat ini.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata kesemua permohonan itu yang antaranya daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan individu diterima sejak pusat itu dibuka pada 4 Julai lepas dan telah diluluskan.

"Kesemua mereka telah menyampaikan bantuan baik dari segi bantuan kemanusiaan dan juga pembersihan. Kita sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

"Mana-mana pihak yang ingin menyampaikan bantuan dan sumbangan mestilah mendaftar dengan PKOB supaya semua bantuan itu boleh diselaraskan dan disalurkan kepada penduduk yang terkesan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas klip video tular yang memaparkan beberapa kenderaan yang membawa muatan bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir tetapi didakwa tidak dibenarkan masuk ke kawasan terjejas.

Shamsuddin berkata polis tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir, namun menegaskan ia perlu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu dengan mendaftar dengan PKOB terlebih dahulu.

Katanya, peraturan tersebut bertujuan menyelaras semua bantuan dan sumbangan bagi memastikan semua mangsa banjir atau penduduk mendapat bantuan itu tanpa ada yang tercicir.

"Kita ada 38 kampung dan taman perumahan yang terkesan akibat bencana ini dari Lata Celak ke Kupang. Kita tidak mahulah bantuan ini hanya tertumpu di satu-satu tempat sahaja, kita mahu menyeluruh supaya masyarakat yang terkesan mendapat sama rata.

(Foto fail)

"Jadi pihak PKOB akan selaraskan dan memberikan mereka surat dan menentukan ke mana bantuan itu harus dibawa dan mereka diberikan nombor telefon orang yang boleh dihubungi di kawasan itu agar bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar terjejas banjir," katanya.

Sementara itu, Shamsuddin berkata lebih 1,000 laporan polis diterima daripada penduduk yang terjejas banjir setakat ini berkaitan kerosakan rumah, kerosakan atau kehilangan harta benda dan dokumen penting dalam kejadian itu. -BERNAMA

Media Baharu