KUALA LUMPUR, 10 Julai- Solat sunat Aidiladha di seluruh negara dihadiri ribuan jemaah dan pemimpin-pemimpin negeri.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 rakyat di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh.
Keberangkatan tiba Baginda pada pukul 8.35 pagi diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
(Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama kira-kira 2,000 jemaah menunaikan
solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh)
Sementara itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 1,500 jemaah di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti.
Berkenan berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Tuanku Muhriz berkenan bertakbir raya dan menunaikan solat Aidiladha yang dipimpin Imam Masjid Diraja Tuanku Munawir, Abdul Rahman Ibrahim.
Sebanyak 14 ekor lembu akan disembelih untuk ibadah korban di perkarangan masjid berkenaan.
Di Johor pula, Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, menunaikan Solat Sunat Aidiladha bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Tunku Ismail tiba pada pukul 8.30 pagi, diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Baginda kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat pulang pada pukul 9.00 pagi.
Di Kelantan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi, Kota Bharu bersama lebih 3,000 jemaah.
Baginda yang memakai jubah putih tiba sekitar pukul 8.35 pagi, diiringi Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob serta Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Sementara itu, Sultan Kedah, Al Aminul Karim, Sultan Sallehuddin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al Bukhary, Alor Setar.
Tutut berangkat sama, Sultanah Maliha almarhum Tengku Ariff.
Baginda bersama lebih 1,000 jemaah bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha.
Suasana di pagi raya di Melaka, menyaksikan kira-kira 3,000 jemaah hadir di Masjid Al- Azim, Bukit Palah untuk menunaikan solat Sunat Aidiladha.
Solat di imamkan Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Mohamad Hashim Al-Hafiz.
Turut hadir Yang Di Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman.