KUALA LUMPUR, 10 Julai - Sebanyak 26 ekor lembu dan empat ekor kambing disembelih pada Program Ibadah Korban dan Aqiqah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Hari Raya Aidiladha.
Program tahunan itu dilaksana secara gotong-royong oleh 150 anggota ATM dengan kerjasama Masjid Khalid Al-Walid Kementerian Pertahanan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam, ia dilaksanakan secara terbuka tahun ini selepas dua tahun hanya dijalankan di pusat penyembelihan kerana penularan COVID-19.
"Hikmah pelaksanaan program bertujuan untuk memberi satu impak dan kesan kepada semua warga ATM agar menjadikan pengorbanan itu satu teras dalam kehidupan di mana mereka terkenal dalam bentuk pengorbanan menjaga keselamatan negara dan menjaga keamanan negara.
Dengan pengorbanan ini, sekurang-kurangnya memberikan satu semangat untuk mereka terus melaksanakan tanggungjawab yang diberi kepada mereka," katanya selepas majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi.
(Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Kor Agama Angkatan Tentera)
Kesemua daging korban dan aqiqah itu diagihkan kepada 140 peserta yang mengambil bahagian, golongan asnaf dan ahli kariah masjid.
Terdahulu, Brigedier Jeneral Mohd Hamzah yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Masjid Khalid Al-Walid menyampaikan khutbah raya dan mengimamkan solat sunat Aidiladha yang disertai lebih 500 jemaah.