fb fb fb fb fb

"King of Sado" lembu terbaik dikorbankan, manfaat 1,000 asnaf

KUALA LUMPUR, 10 Julai- Lembu yang mendapat gelaran "King Of Sado 2022" seberat 1.2 tan dikorbankan di Masjid Al-Ikhlasiah, di sini, sempena Aidiladha, hari ini.

Lembu yang digelar Gemuk itu dibeli Ikhlas.com untuk diagihkan kepada 1,000 asnaf sekitar Bukit Kerinchi.

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya sememangnya berhajat untuk mendapatkan lembu terbaik di Malaysia bagi ibadah korban tahun ini.

"Lembu ini dianggap lembu terbaik di Malaysia tahun ini dan Ikhlas.com mahu berkongsi manfaat ibadah korban dengan masyarakat setempat.

"Sejak awal lagi kami memang berhasrat untuk membeli lembu ini kerana baka yang terbaik untuk dikongsi bersama penduduk yang kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui, hari ini.

"Majlis korban hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk dan sukarelawan untuk melapah sebelum diagihkan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Gemuk yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi RM30,000 itu merupakan haiwan kesayangan seorang kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata Gemuk dibesarkan oleh seorang penternak bernama Muhammad Bakri Bukhari dari Bera, Pahang iaitu seorang pelanggan pakej umrah yang ditawarkan Ikhlas Sdn Bhd yang telah menunaikan ibadah suci itu pada Mac lepas.

“Semasa Gemuk diambil Muhammad Bakri, beratnya hanyalah 600 kilogram (kg) dan beliau telah menjaga Gemuk selama empat tahun sehinggalah menjadi seberat 1.2 tan. Jadi boleh dikatakan Encik Bakri adalah seorang pengembala terbaik di Malaysia.

Ikhlas juga menceritakan bagaimana anak perempuan Muhammad Bakri bersedih apabila diberitahu oleh ayahnya bahawa Gemuk akan dijual untuk dikorbankan setelah mendapat gelaran King of Sado.

Lembu yang digelar Gemuk itu dibeli Ikhlas.com untuk diagihkan kepada 1,000 asnaf
sekitar Bukit Kerinchi 
/ FOTO BERNAMA

“Anak perempuan dia banyak jaga lembu dengan bapanya. Dia banyak membantu untuk basuh dan memberi makan. Jadi apabila dia dapat tahu lembu ini akan dijual, dia merajuk dengan bapanya.

“Tetapi, bapanya sudah menjelaskan bahawa Gemuk dipilih oleh Allah S.W.T untuk kebaikan orang ramai, dan sekarang anak dia sudah faham dan tidak bersedih lagi,” katanya.

Gemuk yang berbaka Charolais itu sebelum ini telah dinobatkan sebagai "King of Sado 2022" dalam Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 yang diadakan awal bulan ini.

Gemuk disumbangkan oleh seorang individu melalui Ikhlas Sdn Bhd, sebuah platform gaya hidup Islam digital kepada Masjid Ikhlasiah bagi memanfaatkan 1,000 asnaf yang berada dalam kariah di sini.

Media Baharu