fb fb fb fb fb

PKMM harap RMK13 fokus kelangsungan 136,000 kontraktor berdaftar

Foto hiasan/ BERNAMA

KOTA BHARU, 30 Julai - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berharap pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) esok akan memberi perhatian terhadap kelangsungan lebih 136,000 kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, antara tumpuan utama kerajaan seharusnya memperkenalkan lebih banyak kaedah dan inisiatif bagi meningkatkan penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek-projek pembangunan yang dilaksanakan.

Beliau berkata sasaran penguasaan penyertaan kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan tidak seharusnya kekal sekitar 30 peratus, sebaliknya wajar ditingkatkan kepada antara 50 hingga 60 peratus.

"Kerajaan mestilah jangan mengeluarkan projek-projek atau tender-tender yang bernilai terlalu besar RM500 juta-RM600 juta, tapi cuba pakejkan kepada nilai yang munasabah yang mampu dilaksanakan kontraktor Melayu dan Bumiputera, bererti lebih banyak pakej dibuat oleh kerajaan bererti lebih banyaklah kontraktor dapat peluang", katanya ketika di temui di Kota Bharu.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan pelaksanaan projek melalui kaedah undi kerana ia membuka ruang lebih luas kepada kontraktor kecil dan sederhana dalam kategori G1 hingga G4, selain mengelakkan monopoli projek oleh pihak tertentu secara tidak seimbang.

"Kerja-kerja undi adalah merupakan kaedah yang terbaik kepada kerajaan dan juga kontraktor dari segi ketelusan, kecepatan dari segi nilai harganya dari segi kualiti kerjanya, ianya jadi lebih sempurna", ujarnya.

Datuk Mohd Rosdi turut mencadangkan agar syarat baharu dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung cukai kontraktor ditangguhkan terlebih dahulu, kerana berisiko menjejaskan keupayaan kewangan kontraktor khususnya Bumiputera.

ROSLINA BINTI DIN