fb fb fb fb fb

Kerajaan laksana Program Konsolidasi Getah Terbiar lonjak produktiviti sektor getah

Kerajaan laksana Program Konsolidasi Getah Terbiar lonjak produktiviti sektor getah / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kerajaan mengambil langkah proaktif mengurangkan kebergantungan kepada satu komoditi sahaja dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi melonjakkan produktiviti sektor getah negara.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata antara usaha utama yang sedang digerakkan ialah pelaksanaan Program Konsolidasi Getah Terbiar, bagi memastikan tanah kebun getah yang tidak diusahakan dapat dimajukan secara komersial.

3007 NSL PAR CHAN KEBUN GETAH 2Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin / Foto Bernama

“Memang kita berpendapat bahawa kita tidak seharusnya bergantung kepada satu-satunya komoditi sahaja. Jadi, kita harus pelbagaikan usaha, terutama untuk mengekalkan keluasan tanah getah.

“Salah satu komitmen kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi adalah pelaksanaan Program Konsolidasi Getah Terbiar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang membangkitkan isu berkaitan tanah getah yang terbiar.

Menurut Chan, program tersebut kini dalam peringkat pembangunan dan akan membuka peluang kepada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, koperasi serta pengusaha individu untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar berkenaan.

“Selain mengurus kawasan terbiar secara komersial, program ini juga mewujudkan peluang pekerjaan tetap kepada masyarakat setempat sebagai penoreh, dengan pendapatan yang lebih stabil.

“Setakat ini, Lembaga Getah Malaysia (LGM) bersama FELDA telah mengenal pasti lebih 1,700 hektar kebun getah terbiar untuk dibangunkan di bawah program ini. Antara negeri utama yang dikenal pasti termasuk Kedah, Perak dan Negeri Sembilan,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN