JASIN, 30 Julai – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang disertai lebih 100 kenderaan pelbagai jenis tiba di Melaka hari ini, dengan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Jasin menjadi lokasi pelepasan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, konvoi sejauh lebih 60 kilometer itu melibatkan empat lokasi persinggahan sebelum berakhir di Pejabat Penerangan Alor Gajah petang ini.
“Sepanjang persinggahan, kita menyantuni masyarakat dengan menyerahkan Jalur Gemilang sebagai simbol semangat patriotik. Saya menyeru seluruh rakyat Melaka mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan Malaysia MADANI Rakyat Disantuni,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Jasin.
Esok, KMJG 2025 akan meneruskan perjalanan ke Negeri Sembilan dengan destinasi penamat di Muzium Rembau.