PUTRAJAYA, 30 Julai - Perkhidmatan teleperubatan dan e-kesihatan dijangka mula beroperasi di beberapa lokasi terpilih di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar menjelang akhir tahun ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kementeriannya sedang merangka pelaksanaan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung penghantaran ubat-ubatan menggunakan teknologi dron dari klinik kesihatan luar bandar ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terdekat.
Ia antara lain bagi memudahkan penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan saringan dan rawatan asas.
Jelas Datuk Fahmi, ketika ini sebanyak 1,099 NADI beroperasi di seluruh negara, dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 156 pusat diikuti Sabah dengan 131 pusat.
"700 daripada NADI ni terletak di kawasan luar bandar, jadi fokus utama kita bagaimana kita boleh link kan 700 NADI dengan klinik berdekatan dan seterrusnya menyediakan teleperubatan dan juga e kesihatan.
"Di mana sesi konsultasi kesihatan dapat dilakukan secara dalam talian melalui panggilan video," katanya kepada media selepas majlis perhimpunan Kementerian Komunikasi hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Terdahulu katanya, penggunaan dron telah diperkenalkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Tawau dan juga ditampilkan dalam beberapa demonstrasi baru-baru ini.