SEREMBAN, 30 Julai – Semua premis di Negeri Sembilan disarankan untuk mengibarkan Jalur Gemilang bermula 1 Ogos hingga 16 September sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pengibaran Jalur Gemilang merupakan simbol kasih dan sayang rakyat terhadap negara, serta tanda penghormatan kepada kedaulatan Malaysia.
“Pada tarikh itu, kita mahu semua premis memulakan pengibaran bendera baharu. Kadang-kadang, bukan hanya premis, orang kampung pun pasang bendera – tetapi benderanya koyak atau lusuh.
“Ada semangat hendak pasang, tapi tiada semangat hendak sayang bendera itu. Kalau sudah uzur atau kusut, tanggalkanlah. Kita hormat dan sayangi bendera kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan mengagihkan Jalur Gemilang secara percuma di beberapa kawasan terpilih di seluruh Negeri Sembilan sebagai galakan kepada rakyat untuk turut serta memeriahkan sambutan.