fb fb fb fb fb

KPLB cadang kenaikan kos bina rumah PPRT

(Mahdzir Khalid pada persidangan Dewan Rakyat hari ini)

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang menaikkan kos pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berdasarkan kadar harga semasa.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sesi libat urus sedang dilakukan dengan pelbagai agensi untuk mendapat pandangan, sebelum cadangan dikemukakan kepada Jemaah Menteri.

KPLB mengambil maklum mengenai kos bahan binaan yang meningkat antara 10 hingga 15% dalam tempoh pasca pandemik.

(Gambar hiasan)

Peningkatan itu menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan kontraktor dan kebanyakan kontraktor yang sedia ada menarik diri dari melaksanakan kerja-kerja membina dan membaik pulih rumah PPRT.

"Kos binaan ini telah menyebabkan ramai dalam kalangan kontraktor kecil di kampung merasakan mereka tidak mampu kerana margin yang ada terlalu kecil.

"Kita sedar sekarang ini di Semenanjung Malaysia harga binaan sebuah rumah PPRT ialah RM56,000 dan RM68,000 di Sabah dan Sarawak, kita bercadang untuk mengemukakan cadangan kenaikan untuk kita bentang kelulusan kerajaan melalui Jemaah Menteri," katanya menjawab soalan tambahan wakil Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Mahdzir, syarat untuk mendapatkan bantuan rumah PPRT masih sama seperti dulu, iaitu penerima disahkan sebagai golongan miskin serta perlu memiliki tanah sama ada milik sendiri atau keluarga.

Media Baharu