fb fb fb fb fb

JBPM Kelantan tingkat siap siaga sepanjang Ramadan

(Majlis Tamat Latihan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 1/2022, JBPM Kelantan)

BACHOK, 23 Mac - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berlaku kes kebakaran dan kemalangan sepanjang bulan Ramadan.

Pengarahnya, Zainal Madasin berkata susulan itu beberapa anggota JBPM akan ditempatkan di kawasan tumpuan dan lokasi berisiko termasuk di tapak bazar Ramadan.

Kempen keselamatan kebakaran turut akan dipergiat pihaknya.

"Kita akan melaksanakan kempen keselamatan kebakaran di kawasan-kawasan yang berisiko seperti bazar Ramadan, lokasi ini kita tahu akan banyak memasak. Kita juga akan buat kempen keselamatan di kawasan dan edar risalah mengingatkan mereka kempen yang dilaksanakan," katanya.

(Zainal Madasin)

Beliau berkata demikian pada Majlis Tamat Latihan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 1/2022, JBPM Kelantan, di sini.

Seramai 67 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Waters and Rescue Team (SWART) dari Kelantan dan Terengganu menerima Sijil Tamat Latihan pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Zainal memaklumkan dua buah balai kategori B bakal dibina di Kuala Balah dan Chiku tahun hadapan.

Setakat ini, terdapat 22 Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh Kelantan.

Media Baharu