fb fb fb fb fb

PJMKM: Kementerian berkaitan perlu capai prestasi 100 peratus

KUALA LUMPUR, 29 Ogos- Tindakan sewajarnya perlu diambil semua kementerian yang terlibat dengan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM), untuk menyegerakan pelaksanaan program tersebut.

Ini bagi mencapai sasaran penuh PJMKM iaitu di 639 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dikenal pasti.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata laporan selepas dua minggu pelaksanaan PJMKM, menunjukkan masih banyak lokasi yang belum menjalankan perniagaan atau khidmat Jualan Murah Keluarga Malaysia.

"Pertamanya, kita tidak berpuas hati dari segi jumlah pusat pusat jualan Keluarga Malaysia, jadi kita buat penanda aras untuk diri kita sendiri.

"Untuk jawatankuasa ini kita beri diri kita sendiri hingga 15 September untuk mencapai 100 peratus. Sekarang ini ada kementerian yang capai 30 peratus, ada kementerian yang capai 60 peratus, ada yang 40 peratus, atas pelbagai masalah yang dilalui bila nak melaksanakannya.

"Keseluruhan, prestasinya masih kurang 50 peratus, kita kena kata pada diri kita sendiri, ini masih belum cukup baik," katanya pada sidang media Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya ingin melihat sasaran PJMKM mencapai 100 peratus dalam masa dua minggu ke hadapan ini.

(Annuar Musa)

Dalam pada itu, Annuar memberitahu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) perlu memperluas Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di kampus-kampus universiti awam.

KUSKOP diseru menyegerakan penilaian dan mengambil tindakan sewajarya dalam pelaksanaan program itu kepada golongan sasar.

"Maknanya, jualan murah yang di luar untuk komuniti sekarang kita tambah lagi 21 untuk semua kampus-kampus universiti awam, sebolehnya menerusi rangkaian koperasi yang ada dalam kampus-kampus.

"Cuma untuk kampus mungkin bukan soal harga ayam, harga minyak sebab pelajar tak beli barang mentah dalam kampus, mungkin jika pelajar ingin beli data internet dalam kampus, mungkin mereka beli alat tulis, mungkin beli makanan sudah masak.

"Jadi kita serahkan pada KUSKOP untuk melihat apa dia barang 7 ke 10 barangan lazim digunakan oleh mahasiswa mahasiswi dan menggunakan mekanisme yang sama agar pelajar di kampus dapat membeli barang dengan harga diskaun dan lebih murah," tambahnya.

Media Baharu