fb fb fb fb fb

APMM kesan kegiatan menangguk gamat

(Foto APMM)

PASIR PUTEH, 29 Ogos- Lima kru termasuk tekong warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan ketika melaksanakan Op Khas Naga Barat dan Op Damai, semalam.

Kesemua suspek ditahan selepas bot mereka dikesan sedang menangguk gamat di perairan Kelantan.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata bot terbabit ditahan pada jarak lebih kurang 40 batu nautika dari Muara Tok Bali, Pasir Puteh dan 11.6 batu nautika dari sempadan Thailand.

"Pemeriksaan mendapati, kesemua nelayan Vietnam itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Lebih 200 kilogram gamat ditemukan di dalam bot yang dipercayai ditangkap di perairan negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

(Gamat yang ditemukan semasa operasi/Foto APMM)

Tekong juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

Bot dan kesemua mereka ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) akta yang sama.

Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain bot dan gamat, turut dirampas 2,000 liter diesel dan peralatan menangguk gamat yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM429,000.

Media Baharu