fb fb fb fb fb

Polis tumpas sindiket dadah bernilai hampir RM11 juta

SELANGOR, 29 Ogos- Polis berjaya tumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10.89 juta selepas menahan dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di Kampung Baru Ampang, 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia 23 tahun telah diberkas di dalam pacuan empat roda jenis Toyota Hilux manakala rakannya berusia 51 tahun turut ditahan di kawasan berhampiran.


(Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed)

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya merampas 349 bungkusan kuning mengandungi bahan disyaki methamphetamin seberat 363.03 kilogram.

Sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dan kawasan berhampiran sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, pihak polis dalam proses mengesan dalang sindiket dan telah menyita aset sindiket berkenaan yang bernilai RM 101,373.

Semakan rekod lampau mendapati suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala ujian urin mendapati kedua-duanya negatif dadah.

Kedua suspek direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos dan disambung selama enam hari bermula Ahad hingga 2 September.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali.

Media Baharu