fb fb fb fb fb

Seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental - KKM

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 29 Ogos- Satu daripada lapan remaja berusia antara 10 hingga 19 tahun di negara ini mengalami masalah kesihatan mental.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morboditi (NHMS) itu juga mendapati satu daripada 20 kanak-kanak berusia antara lima hingga sembilan tahun turut mengalami masalah kesihatan mental termasuk tumbesaran.

Jelasnya bunuh diri adalah punca kedua utama kematian dalam kalangan remaja berusia lima hingga 19 tahun.


(Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali)

Antara faktor risiko kesihatan mental yang lemah adalah pendedahan kepada keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial amat berleluasa.

Pada 2019, dianggarkan seramai 424,000 kanak-kanak di negara ini bergelut dengan masalah kesihatan mental, namun ramai yang tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.

"Kementerian kesihatan komited untuk menterjemahkan hasil penyelidikan MHPSS kepada dasar dan amalan, semasa kami membagunkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM menggesa semua pihak berkepentingan dan pakar dari kedua-dua agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk memudahkan kerjasama dan penyelarasan yang lebih erat dalam pelaksanaan MHPSS khusus untuk kanak-kanka dan remaja di negara ini. Kesihatan mental yang lemah boleh memberi kesan yang mendalam kepada kesihatan, pembelajaran dan penyertaan kanak-kanak serta remaja," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Laporan dan Infografik hasil penyelidikan bertajuk " Strengthening Mental Health and Psychosocial Support System and Services (MHPSS) for Children and Adolescents in the East Asia and Pacific Region di sini.

Kajian MHPSS merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan UNICEF bermula pada Mei tahun lepas.

Jelas Datuk Dr Noor Azmi lagi pihaknya kini sedang berkolaborasi dengan 7,700 Sekolah Rendah dan 2,450 Sekolah Menengah seluruh Malaysia bagi menilai dan mengenalpasti kanak-kanak bermasalah.

Tambahnya, penekanan juga perlu diberi kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu menangani isu tersebut, manakala guru diberikan latihan khusus bagi penilaian masalah mental.

Media Baharu