fb fb fb fb fb

PJMKM, kementerian terlibat diminta tingkatkan jumlah premis - Annuar

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Semua kementerian yang terlibat dalam Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi diminta segera mengadakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di premis masing-masing.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sr Annuar Musa berkata kementerian tersebut perlu melaporkan kepada jawatankuasa bagi memastikan matlamat mewujudkan 639 premis PJMKM dapat dicapai dalam masa terdekat.

(Tan Sr Annuar Musa)

"Mesyuarat telah meminta supaya semua kementerian-kementerian terbabit seperti MAFI, KPDNHEP, KUSKOP, KWP, KPLB melalui agensi masing-masing diminta supaya menyegerakan dan mempertingkatkan jumlah premis yang menawarkan perkhidmatan jualan lebih murah dibawah Program Jualan Murah Keluarga Malaysia.

"Saya berharap langkah-langkah segera dapat diambil supaya lebih banyak kedai-kedai yang boleh dikunjungi oleh penduduk di segenap pelusuk negara dengan mendapatkan barangan yang kira-kira 20% lebih murah daripada harga biasa," katanya dalam sidang media Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di ibu negara.

Tambah Annuar, sehingga minggu pertama pelaksanaan, sebanyak 127 lokasi jualan murah keluarga malaysia versi baharu telah dilaksanakan.

Tan Sri Annuar turut meminta agar kesemua kementerian terbabit mewujudkan kerjasama dengan pemimpin tempatan dalam memilih lebih banyak lagi premis atau kedai-kedai untuk menyertai program tersebut.

Dalam pada itu, kaedah penggunaan platform e-Dagang tempatan untuk mempelbagaikan barangan dan perkhidmatan dengan tawaran harga lebih murah bakal diperkenal.

Kearah itu, Tan Sri Annuar berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang merangka kaedah pelaksanaanya.

"Dalam hubungan ini MDEC sedang menyiapkan kerangka yang terakhir untuk dibentangkan pada jawatankuasa pasukan khas menangani inflasi pada minggu hadapan untuk membolehkan ianya diterima ataupun ianya diselaraskan dengan jualan-jualan yang lain.

"Bermakna ini platform yang ketiga selepas jualan murah keluarga malaysia yang baru dimulakan dan kemudian jualan melalui rangkaian koperasi, sekarang ini ialah rangkaian pembelian melalui e-dagang, melalui platform-platform e-dagang dan kita sedang mendaftarkan seberapa banyak pengendali-pengendali platform e-dagang," katanya.

Tan Sri Annuar turut menggalakkan semua platform e-dagang tempatan mengambil bahagian dengan mendaftarkan diri untuk menyertai program yang akan dilancarkan pada bulan depan.

Katanya, melalui platform e-dagang, ia bakal menyediakan perkhidmatan serta penjualan barangan keperluan yang lebih murah.

Media Baharu