fb fb fb fb fb

PIS lahirkan pelajar cemerlang sukan

JOHOR BAHRU, 1 November- Kejayaan 14 pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor Bahru, merangkul 23 pingat emas dalam acara Kanu di Sukan Malaysia (SUKMA) September lalu, membuktikan bahawa institut tersebut mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan.

Pengarah PIS, Noor Aidi Mohd Nadzri berkata, pencapaian tersebut amat tepat dengan sasaran Kementerian Pengajian Tinggi untuk melahirkan graduan berciri holistik.

Menurutnya, persiapan atlet kanu yang intensif, termasuk menjalani latihan di Hungary telah membuahkan hasil apabila menyumbang emas buat Johor dalam beberapa acara.

Antara yang menyerlah, atlet kanu Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize yang memenangi sembilan pingat emas, memecahkan dua rekod kebangsaan, serta dinobat Olahragawan SUKMA 2022.


(Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Noor Aidi Mohd Nadzri)

"Jadi kalau kita lihat, pelajar kita yang menang pelbagai pertandingan ini, kita lihat bidang pengajian mereka, bukan calang-calang, kejuruteraan, bidang grafik. Ini bermakna mereka pandai menyesuai padankan masa untuk berlatih, banyak masa berlatih dan tidak abaikan pengajian mereka", katanya.

Turut menyerlah dari PIS, V. Yilamaran, atlet para yang memperoleh perak dalam acara Kumite Individu pada Deaflympics ke-24 di Brazil serta Koay Hao Sheng, atlet tenis, memenangi emas pada Sukan SEA 2022.

Selain Ahmad Amirul Aimin Mohamad Suhaimi, Johan Futsal Lelaki LIGA IPT, dan Umi Amirah Kamaruddin, memenangi emas dalam Sofbol SUKIPT wanita.

Beliau berkata demikian semasa Program Santai Mesra bersama Media 2022 PIS dan RTM, di Johor Bahru.

Program dihadiri 40 kakitangan Jabatan Penyiaran Johor dan bertujuan mengeratkan jalinan kerjasama RTM dan PIS, selain mengiktiraf peranan RTM Johor dalam memberi hebahan program dilaksanakan IPT.

Majlis turut meraikan para atlet PIS yang telah mengharumkan nama politeknik.

Media Baharu