fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Sabah terus meningkat

KOTA KINABALU, 1 November - Penduduk terjejas banjir di Sabah terus meningkat kepada 724 orang daripada 201 keluarga melibatkan daerah Penampang, Sipitang, Kunak, Tenom dan Keningau yang berlaku dalam tempoh sepanjang 48 jam yang lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan setakat pukul 4 petang tadi memaklumkan di Penampang, seramai sembilan orang daripada satu keluarga berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kolam Renang, Kompleks Sukan Penampang.

Tinjauan sekitar Penampang mendapati terdapat air sungai melimpah sehingga bahu jalan, selain orang ramai turut bersiap siaga dengan meletakkan kenderaan masing-masing di tempat yang selamat.

Sementara itu, penduduk yang dipindahkan akibat banjir di Sipitang meningkat kepada 55 orang daripada 20 keluarga, ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol dan Dewan SJK Cina Chung Hwa Mesapol.

Di Kunak pula kekal 66 orang membabitkan 13 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Airport Tun Fuad.


(Penduduk terjejas banjir di Sabah terus meningkat kepada 724 orang daripada 201 keluarga
melibatkan daerah Penampang, Sipitang, Kunak, Tenom dan Keningau)

Di Tenom seramai 298 penduduk terjejas melibatkan 80 keluarga di tempatkan di tiga PPS iaitu Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Rumah Kebudayaan Makakagas dan Rumah Kebudayaan Gunting.

Di Keningau pula 296 penduduk terjejas banjir dengan 87 keluarga telah ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Gereja Kampung Senagang dan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2.

Dalam pada itu, kenyataan rasmi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memaklumkan ia terpaksa menutup operasi stesen janakuasa hidro Tenom Pangi berikutan kejadian arus sungai deras dan tanah runtuh seterusnya menimbus beberapa peralatan set janakuasa tersebut.

Keadaan tersebut turut mengakibatkan enam pekerja termasuk dua polis bantuan terperangkap di bilik janakuasa berkenaan sebelum diselamatkan pihak bomba.

Walau bagaimana pun penutupan operasi tersebut tidak menjejaskan bekalan elektrik kepada sistem grid di Sabah.

Media Baharu