fb fb fb fb fb

PIRECFS jadi panduan perancangan, pembangunan fizikal dan hutan Semenanjung - PM

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang
Fizikal Negara (MPFN) Ke-40)

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusinya, mesyuarat bersetuju meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu PIRECFS dijadikan panduan perancangan serta pembangunan fizikal dan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pelan induk tersebut bertujuan memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’.

PIRECFS merupakan inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara yang melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Pelan induk ini juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang
Fizikal Negara (MPFN) Ke-40)

"Sekali gus mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar, dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan," kata beliau dalam kenyataan tersebut hari ini.

Melalui pelaksanaan pelan induk ini, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan akan dapat dicapai hasil kerjasama bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri.

Selain itu, Ismail Sabri turut meminta kerajaan negeri mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam (TLA) di seluruh negara.

Sehubungan itu, semua kerajaan negeri melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab di bawahnya diseru untuk mengambil langkah yang lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN).

Pewartaan TLA tersebut akan memastikan ianya kekal terpelihara dan kekal berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat untuk tujuan rekreasi dan riadah ke arah Malaysia yang lebih berdaya huni.

Media Baharu