fb fb fb fb fb

RUU AGS 2021: Penglibatan ahli pelbagai agama dan bangsa, pendedahan awal kanak-kanak

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Perbahasan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 hari ini menyaksikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar Fasal 24 dan Fasal 25, dikaji semula.

Keperluan itu jelasnya, agar fungsi dan kuasa pentadbir kepada gangguan seksual perlu dikaji semula seperti mana Akta Kanak-kanak.

"Akta Kanak-kanak mempunyai Fasal Seksyen 3 dimana wakil-wakilnya daripada pelbagai kementerian, IGP untuk duduk dalam jawatankuasa penilai untuk penelitian semula. Dengan itu, ia lebih adil memandangkan ada lebih daripada satu individu," kata Azalina di Parlimen.


(Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said)

Kemudian, perbahasan turut mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang bangun mencelah untuk menyuarakan pandangan bahawa penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah bagi memberi gambaran sebenar Malaysia.

"Kalau kita wujudkan satu jawatankuasa lebih selamat mengikut Fasal 25, adakah Yang Berhormat Pengerang bersetuju bahawa jawatankuasa atau pun tribunal perlu dianggotai oleh ahli-ahli pelbagai agama dan kaum memandangkan isu gangguan seksual ini merupakan satu isu sensitif di negara kita, Malaysia.

"Fungsi mereka sebagai ahli anggota yang terlibat akan menilai dan akan memberikan hujah dan pendapat sebagai contoh berhubung etika berpakaian. Kalau berpakaian sebegini adalah mencolok mata, maka mereka ini wakil agama dan bangsa lain akan menjelaskan. Kebimbangan saya adalah kecenderungan untuk definisi ini akan tidak seimbang," kata Hannah Yeoh mencelah dalam perbahasan.

Ahli Parlimen Pengerang turut memberi maklum balas cadangan Hannah Yeoh dalam ruang perbahasan di Parlimen.

"Apa yang disebut oleh Yang Berhormat Segambut itu betul iaitu kita kita boleh luaskan kuasa Menteri dalam Fasal 24 dan 25, sama ada pindaan boleh dimasukkan. Kalau tidak, saya lihat fasal 24 dan 25 ini akan mewujudkan bukan sahaja keganasan gangguan seksual tetapi keganasan mental oleh mana-mana pihak yang tidak adil atau kewarasan," jawab Azalina.

Wakil Lanang, Alice Lau Kiong Yieng yang turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Antigangguan Seksual 2021 pula mengharapkan pendidikan dan program kesedaran perlu diadakan dengan meluas.

"Kesedaran bagi kanak-kanak perlu dimulakan dari peringkat tadika dan sekolah untuk memperkenalkan kepada mereka apakah itu gangguan seksual dengan memberi contoh-contoh yang mungkin berlaku kepada mereka. Ini kerana mereka mungkin tidak tahu gangguan seksual itu adalah sesuatu yang salah," kata Alice Lau Kiong Yieng di Parlimen.


(Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng)

Media Baharu