fb fb fb fb fb

Agong berkenan lawat FIA2022 di Farnborough, United Kingdom

(FOTO FB ISTANA NEGARA)

UNITED KINGDOM, 20 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2022 (FIA2022) di Farnborough, di sini semalam.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Pengerusi Farnborough International, Paul Everitt dan barisan kepimpinan tertinggi Farnborough International.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar.

Dalam lawatan itu, Seri Paduka berkenan melawat dan menerima sembah taklimat setiap wakil syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian.

Seri Paduka turut berkenan melawat Pavilion Malaysia yang diterajui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).


(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat FIA2022 di Farnborough,
United Kingdom/ Foto FB Istana Negara)

Sebanyak 17 syarikat Malaysia dengan kerjasama MATRADE dan tiga agensi kerajaan iaitu Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Negara, Teraju Bumiputera Corporation dan Invest Selangor Berhad mengambil bahagian di FIA2022.

Dalam lawatan yang sama, baginda turut berkenan bertemu dan menyantuni Menteri Eksport United Kingdom, Andrew Griffith.

FIA2022 ialah acara dwitahunan berlangsung selama seminggu bermula 18 Julai lalu.

Ia menggabungkan pameran perdagangan untuk industri aeroangkasa dan pertahanan serta pertunjukan udara.

Media Baharu