fb fb fb fb fb

RUU Antigangguan Seksual diluluskan

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021(AGS 2021) diluluskan.

RUU AGS 2021 adalah untuk memberi kesedaran kepada setiap pihak agar menghentikan tindakan normalisasi gangguan seksual sama ada di tempat kerja atau awam tanpa mengira jantina.

Menerusi penggulungan RUU berkenaan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata langkah berkenaan juga bagi memastikan matlamat untuk menyediakan persekitaran selamat.

"RUU AGS ini bertujuan untuk melengkapi perundangan dan polisi sedia ada berkenaan gangguan seksual di Malaysia yang sebelum ini tidak dapat memberikan tebus rugi sewajarnya kepada mangsa-mangsa gangguan seksual dan hanya memberikan fokus utama kepada menghukum pelaku. Penggubalan undang-undang ini juga akan menyumbang kepada kewujudan persekitaran yang selamat khususnya kepada wanita. Pendekatan RUU AGS ini adalah untuk memberi kesedaran kepada setiap pihak supaya berhenti menormalisasikan gangguan seksual serta memastikan matlamat untuk menyediakan persekitaran selamat daripada gangguan seksual ini tercapai," kata Rina Harun bercakap di Parlimen.

Kementerian juga katanya akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Penilaian Khas yang akan diwakili NGO, ahli akademik dan agensi kerajaan.

Jawatankuasa berkenaan akan memantau keberkesanan RUU dan melaporkan kepada platform yang dikenal pasti kelak.

"Definisi gangguan seksual merangkumkan tiga elemen penting dan komprehensif iaitu apa-apa kelakuan yang tidak diingini bersifat seksual dan dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan, bukan lisan, visual isyarat atau fizikal yang ditujukan kepada seseorang. Secara munasabahnya, yang menyinggung atau menghina atau ancaman kepada kesejahteraannya," tambah Rina.

Tambah beliau lagi, pendidikan seksual juga perlu diterap sejak dari peringkat awal persekolahan.

Ke arah itu juga, kementerian menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengemas kini dasar Pendidkan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan atau PEKERTI 2022-25.


(Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun menjelaskannya di Parlimen hari ini)

Sementara itu, Datuk Seri Rina turut memaklumkan untuk permulaan pejabat Tribunal AntiGangguan Seksual akan ditubuhkan di Lembah Klang.

"Walau bagaimanapun, merujuk fasal 12(3), tribunal boleh bersidang dalam satu atau lebih pada bila-bila masa dan dimana-mana tempat sebagaimana ditentukan presiden. Forum persidangan boleh dilaksanakan di mana-mana tempat mengikut keperluan," kata Rina lagi.

Tribunal bagi mengendali aduan gangguan seksual itu turut memperuntukkan kuasa tribunal antaranya membuat suatu 'award' termasuk perintah bagi responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu.

"Kementerian juga telah membuat pindaan ke atas Fasal 13 seperti mana yang telah diedarkan kepada ahli Dewan Rakyat yang mana menyatakan mana-mana pihak boleh dengan kebenaran tribunal dibenarkan untuk diwakili peguam sekiranya aduan gangguan seksual melibatkan isu undang-undang yang kompleks dan sekiranya satu pihak dibenarkan untuk diwakili peguam maka satu pihak lagi dibenarkan perwakilan yang sama," jelas Rina.

Media Baharu