fb fb fb fb fb

Petugas media RTM selamat tiba di tanah air, kongsi cabaran liputan haji

(Petugas media RTM selamat tiba di tanah air pagi tadi setelah membuat liputan haji
selama lebih 50 hari di Tanah Suci) 

SEPANG, 20 Julai - Kumpulan ketiga jemaah haji Malaysia termasuk empat petugas media RTM selamat pulang ke tanah air hari ini.

Mereka tiba kira-kira pukul 9.30 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan dari Jeddah, Arab Saudi.

Dua petugas media RTM iaitu wartawan, Ahmed Faisal Jamal dan jurukamera, Azhan Sulaiman mengakui pengalaman membuat liputan haji sesuatu yang cukup istimewa biar pun berdepan cabaran penularan COVID-19.

"Saya sangat bersyukur kerana walaupun kami pergi dua orang sahaja tahun ini, tidak seperti tahun sebelum ini lima orang tapi Alhamdulillah kami dapat melaksanakan apa sahaja tugasan yang diberi sama ada dalam bentuk pemberitaan, mahupun rancangan Salam Baitullah walaupun banyak cabaran dari segi limitasi kelengkapan, pergerakan tapi Alhamdulillah semuanya dapat dilunaskan dengan baik tanpa masalah-masalah yang besar, jadi ini satu penghargaan kepada majikan, Tabung Haji juga, satu kesyukuran lah kepada Allah S.W.T kerana dapat menjemput dengan cara macam ini lah," kata Ahmed Faisal.

"Ini pertama kali lah membuat liputan di Mekah dan kali pertama kali juga saya buat umrah dan haji, pengalamannya cukup bernilai, banyak benda yang dapat saya belajar di sana, Alhamdulillah Ahmed Faisal Jamal banyak membantu saya sebab dia sebelum ini dah ada pengalaman di sana, jadi dia banyak membantu sayalah," menurut Azhan.

Selain menyediakan laporan setiap hari, petugas media juga berpeluang menunaikan ibadah haji seperti jemaah yang lain.


(Dua petugas media RTM iaitu wartawan, Ahmed Faisal Jamal (kiri) dan jurukamera, Azhan Sulaiman (kanan)
mengakui pengalaman membuat liputan haji merupakan sesuatu yang cukup istimewa biar pun berdepan 
cabaran penularan COVID-19)

Bagi Fitri Musa, sama seperti jemaah lain, mereka juga turut berdepan pelbagai pengalaman dan cabaran ketika melakukan kerja.

"Bila kita duduk dekat 50 hari dengan cuaca panas dengan menyesuaikan diri dengan bilik dan sebagainya, itu adalah salah satu cabaran yang saya rasa ibarat kita duduk sekali, kita dah selesa di sini tapi di sana kita nak sesuai kan diri bersama-sama, itu bagi saya satu benda yang mencabar lah, selain daripada kita sebagai petugas (media) nak bertugas dalam masa sama nak beribadah jadi saya kena betulkan niat balik bahawa tugas itu adalah satu ibadah," jelas beliau.

Kesemua mereka tiba bersama 290 jemaah lain dengan penerbangan SV5616 yang bertolak kira-kira pukul 6.55 petang waktu tempatan dari Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah.

Sebanyak 48 penerbangan terlibat dalam membawa 14,306 jemaah haji Malaysia untuk tahun ini.

Penerbangan terakhir dijadualkan pada tarikh 12 Ogos depan.

Media Baharu