fb fb fb fb fb

Banjir Baling: 12 unit rumah dibina baharu atas tanah milik kerajaan negeri

ALOR SETAR, 20 Julai- Hanya 12 unit rumah penduduk terjejas banjir di Baling, Kedah yang didiami pemiliknya sendiri akan dibina baharu di atas tanah milik kerajaan negeri.

Tanah tersebut terletak di dalam kawasan Keda Kampung Sadek, Kupang.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan dengan semua agensi terlibat berkaitan bencana banjir berkenaan di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kesemua rumah akan dibina menggunakan model rumah MYBNHome yang telah dilaksanakan di Paya Pahlawan, Kubang Pasu sebelum ini.

"Anggaran kos tidak termasuk infra adalah sekitar RM70,000 hingga RM75,000 sebuah dan dijangka mengambil masa kurang dari enam bulan untuk disiapkan.

"Reka bentuk rumah berkonsepkan Semi D itu akan disediakan oleh PlanMalaysia dalam tempoh terdekat," katanya kepada RTM.

(Muhammad Sanusi Md Nor/BERNAMA)

Jelas Muhammad Sanusi, kerajaan negeri juga mencadangkan agar pembinaan rumah tersebut dilaksanakan Kinetik Land iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, PKNK.

Setakat ini, pembinaan 12 rumah berkenaan akan menggunakan Dana Kedah Care dan anak syarikat kerajaan negeri, GLC.

Namun Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB turut menawarkan bantuan bagi membina rumah tersebut dan perkara itu dalam proses rundingan.

"Buat masa ini kerajaan memberi keutamaan kepada pembinaan semula rumah yang musnah yang didiami pemiliknya sendiri.

"Manakala baki lima lagi rumah seperti yang diumumkan sebelum ini adalah rumah yang diduduki oleh penyewa dan pemiliknya mempunyai rumah lain untuk didiami," menurut beliau.

Perincian mengenai kedudukan rumah ini akan diumumkan selepas ini.

Banjir lumpur berpunca daripada aliran puing atau kepala air yang berlaku pada 4 Julai lalu, bukan sahaja menyebabkan banyak kemusnahan terhadap rumah kediaman dan harta benda.

Malah turut mengorbankan tiga sekeluarga termasuk seorang ibu hamil.

Media Baharu