fb fb fb fb fb

Penganjuran JAKM Kelantan tawarkan pelbagai pengisian dan peluang kerjaya - Annuar

KOTA BHARU, 20 Julai- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Kelantan selama tiga hari bermula Jumaat ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu membawa pengertian amat besar kepada usaha kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa adalah menjadi hasrat kerajaan untuk berkongsi maklumat kepada seluruh Keluarga Malaysia agar dasar dan falsafah pentadbiran negara dapat benar-benar dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

"Saya mengharapkan penglibatan daripada semua pihak. Dengan adanya jelajah ini, kementerian akan bentangkan segala perancangan dan program utama yang akan dibuat pada masa hadapan. Maka, usaha ini perlu disambut oleh semua masyarakat dalam memacu negara ke arah lebih baik selain inisiatif ini seiring dengan konsep kita iaitu Keluarga Malaysia," kata Annuar yang juga penyelaras JAKM Kelantan ketika ditemu bual menerusi rancangan Apa Khaba Ore Kampung (AKOK) di Stesen Radio Kelantanfm.

Mengulas lanjut, Tan Sri Annuar berkata JAKM Kelantan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempunyai hubungan istimewa dengan negeri itu kerana ibu bapa pemimpin tersebut berasal dari Kelantan.

Mengenai pengisian sepanjang tiga hari program AKM Kelantan, beliau menjelaskan pada edisi keenam jelajah itu pengunjung akan disajikan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kesenian RIUHxJAKM Kelantan, Karnival Digital K-KOMM@JAKM, ramah mesra bersama artis, pertandingan Muay Thai antarabangsa, Bekwoh Keluarga Malaysia dan Bicara Ulama Nusantara.

Selain itu, turut diadakan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang menawarkan lebih 4,000 peluang pekerjaan oleh PERKESO.

Justeru itu, rakyat Kelantan di saran untuk keluar beramai-ramai memeriahkan program dan pada masa sama memperoleh pelbagai manfaat menerusi penganjuran aktiviti yang dijalankan.

"Harapan saya adalah saya mohon semua masyarakat di Kelantan ini datang beramai-ramai menjayakan JAKM ini," tambah Annuar.

Lebih 50,000 rakyat Kelantan dijangka akan hadir memeriahkan JAKM yang bertemakan "Keluarga Malaysia, Keluarga Digital".


(MenKOMM, Tan Sri Annuar Musa ditemu bual melalui panggilan telefon menerusi rancangan
Apa Khaba Ore Kampung (AKOK) di Stesen Radio Kelantanfm)

Media Baharu