PUTRAJAYA, 23 Jun- Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kes pemotongan gaji yang menyalahi undang-undang, akan dipertingkatkan.
Menurut kenyataan Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), sekiranya kes disabitkan mahkamah boleh memerintahkan majikan membayar semula perbezaan gaji kepada pekerja terlibat.
Kenyataan itu menyebut berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2024 (PGM 2024) majikan diwajibkan membayar sekurang-kurangnya RM1,700 sebulan kepada pekerja.
Ini termasuk gaji pokok atau jumlah pendapatan bulanan.
"Sekiranya tiada gaji pokok dinyatakan, maka jumlah gaji bulanan tetap perlu mencapai minimum RM1,700, tidak termasuk elaun atau insentif tambahan.
"Peraturan itu turut terpakai kepada pekerja sambilan serta mereka yang dibayar berdasarkan sistem upah seperti tugasan, berat tan, perjalanan atau komisen, seperti diperuntukkan dalam Perenggan 3(2) dan 5(2) PGM 2024," jelas kenyataan tersebut.
Untuk itu, semua pihak wajib mematuhi peraturan tersebut bagi melindungi hak dan kebajikan pekerja.
"KESUMA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732)," kata kementerian itu.
Antara tindakan yang boleh diambil termasuk denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja untuk kesalahan pertama.
Selain denda harian hingga RM1,000 jika kesalahan berterusan, dan penalti sehingga RM20,000 atau penjara 5 tahun bagi kesalahan berulang.
KESUMA mengulas mengenai dakwaan pemandu bas persiaran hanya menerima gaji pokok serendah RM700 sebulan, tanpa elaun tetap.