SAMARKAND, 23 Jun – Malaysia kini dalam fasa memuktamadkan Pelan Hala Tuju Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan sebagai langkah strategik memperkasa sektor awam serta kecekapan pentadbiran kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelan itu memberi penekanan kepada etika, ekuiti dan kepentingan awam.
Beliau berkata, pelan itu turut memberi fokus kepada sektor pendidikan, kesihatan, tenaga dan pertanian, serta mengintegrasi bakat AI tempatan dalam sektor awam dan belia.
“Pembaharuan struktur mesti disertakan dengan transformasi sistem. Dalam hal ini, pendigitalan menjadi pemudah dan pemangkin perubahan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025 (UNPSF) di Samarkand, Uzbekistan, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Malaysia telah mendigitalkan lebih 500 perkhidmatan dalam talian sektor kerajaan selain memperkemaskan akses akses melalui platform selamat seperti MyDigital ID.
Katanya, langkah itu turut diperkasa dengan penggunaan papan pemuka masa nyata (real-time dashboards), strategi cloud-first, serta penyampaian perkhidmatan ramalan berasaskan AI.
Menuju tahun 2030, Malaysia komited mempercepatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau AI dalam sistem kerajaan seperti HRMIS.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan perkhidmatan awam negara kekal cekap, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Forum Perkhidmatan Awam PBB 2025 berlangsung selama tiga hari dan menghimpunkan penjawat awam dari seluruh dunia.