Pindah ladang babi ke Bukit Tagar: Guna sistem moden, elak pencemaran

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Januari – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyatakan sokongan terhadap cadangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar, Selangor, selagi kaedah penternakan moden dan piawaian alam sekitar dipatuhi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan kementerian terhadap pemindahan ladang jika kaedah penternakan moden dipatuhi.
  • Keutamaan kepada pemeliharaan alam sekitar dan piawaian pengurusan sisa ternakan.
  • Kawasan 500 ekar dianggap sesuai untuk penternakan tersusun dan penggunaan teknologi moden.
  • Kawalan pencemaran, bau dan perlindungan sumber air mesti diberi keutamaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementerian tidak melihat sebarang halangan terhadap cadangan itu, sekiranya ia memenuhi keperluan pemeliharaan alam sekitar yang ditetapkan.

“Ya, kita tidak ada masalah dengan sebarang perpindahan kerana penternakan juga perlu memenuhi kehendak alam sekitar.

“Kalau didapati bahawa di Bukit Tagar itu lebih sesuai dengan persekitarannya, maka di peringkat kementerian kita tidak ada masalah dengan apa yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2026 di sini.

Datuk Seri Mohamad berkata kawasan seluas kira-kira 500 ekar yang dicadangkan itu berpotensi membolehkan aktiviti penternakan dijalankan secara lebih tersusun dan sistematik, selain menyokong penggunaan teknologi moden.

Beliau turut menegaskan aspek kawalan pencemaran perlu diberi keutamaan, termasuk pengurusan sisa ternakan, kawalan bau serta perlindungan sumber air.

“Jika ia dilakukan dengan sistem yang moden dan tidak berlaku pencemaran yang berleluasa, maka kita di pihak kerajaan dan kementerian mengalu-alukan apa yang dilakukan di Selangor,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan cadangan pemindahan 116 ladang babi di Tanjung Sepat dan Kuala Langat ke lokasi berpusat di Bukit Tagar bertujuan menangani masalah pencemaran dan bau yang dialami penduduk, dengan pelaksanaannya disasarkan dalam tempoh tiga tahun.