fb fb fb fb fb

Pindaan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kuat kuasa 7 Julai depan

Nik Nazmi (tiga dari kanan) melihat rampasan e-waste dan skrap logam yang diseludup masuk secara haram melalui perairan negara di Pelabuhan Klang

KLANG, 26 Jun- Pindaan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dikuatkuasakan bermula 7 Julai ini.

Pindaan berkenaan bagi membendung kegiatan pengimportan dan penyeludupan sisa buangan elektrik dan elektronik, e-waste secara haram.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, sekiranya aktiviti tersebut dikesan, denda bakal dikenakan maksimum RM10juta berbanding RM500,000 sebelum ini dan hukuman penjara beserta tindakan penalti.

"Pindaan itu telah pun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan dalam proses pewartaan dan saya pun telah tandatangan untuk tarikh menguatkuasaan akta iaitu bermula Julai, 7 Julai jadi selepas ini denda lebih tinggi, penjara, penalti dan sebagainya jadi itu antara usaha kita untuk membendung masalah ini,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja berhubung isu kemasukan kontena e-waste di Pelabuhan Klang, hari ini.

Sementara itu, Nik Nadzmi memaklumkan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Alam Sekitar, JAS telah membanteras 106 buah kontena mengandungi sisa elektrik dan elektronik, e-waste yang diseludup masuk secara haram melalui perairan negara dari Amerika Syarikat.

Beliau berkata dianggarkan lebih RM8 juta keuntungan bersih diperoleh daripada kesemua kontena tersebut.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dari 21 Mac 2024 hingga 19 Jun 2024 telah menahan 301 buah kontena yang disyaki mengandungi e-waste yang telah sampai di Malaysia, hasil pemeriksaan mendapati 106 daripada kontena tersebut mengandungi e-waste dan selebihnya skrap logam, satu tindakan penahanan dan pemeriksaan bersepadu dilaksanakan oleh agensi yang berkaitan,"katanya.

Jelas Nik Nazmi, bagi kontena melibatkan dagangan e-waste, kes masih lagi dalam siasatan JAS bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Manakala, bagi kontena disyaki mengandungi skrap logam, masih dalam tindakan siasatan JKDM mengikut kesalahan Seksyen 135 (1a) Akta Kastam 1967.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE